Akibat Naik Gelongsor Air Setinggi 22 Meter,Salur Darah Terpu tus




Seorang pelancong British yang telah mengalami salur darah terputus selepas terhempas kuat sewaktu menaiki gelongsor air ekstrem.

Dengan gelongsor yang berketinggian 72 kaki (22 meter) dan kecerunan 90 darjah, Jade Graves, 29, mendakwa dirinya terhempas ke dalam kolam sehingga mengakibatkan dia kehilangan banyak darah dan memerlukan proses pemindahan darah di sebuah hospital di Bulgaria.

Ibunya berkata, Graves merasakan kesakitan yang sangat perit di bahagian bawah pelvisnya selepas menuruni gelongsor air lalu memasuki ke dalam kolam tersebut dan terkejut apabila melihat darah mengalir di kakinya.

Dia mendakwa dirinya menjadi lemah dan pitam akibat kehilangan darah yang banyak, dan menghabiskan empat hari di hospital selepas menjalani pemindahan darah dan pembedahan.

Graves, yang berasal dari Hull, England sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Taman Air Aqua Paradise di Nessebar, Bulgaria selepas dirinya terpaksa berdepan dengan trauma akibat tragedi tersebut.

Aqua Paradise merupakan taman tema air yang dikunjungi oleh beratus-ratus pelancong British setiap kali musim panas.

Graves mengalami kecederaan yang mengerikan apabila dia menaiki gelongsor yang dinamakan Space Jam pada 25 Julai tahun lalu.

“Saya masih tidak percaya apa yang berlaku kepada saya di gelongsor itu.

“Saya sepatutnya menikmati percutian yang indah bersama keluarga saya tetapi seluruh pengalaman telah bertukar menjadi suatu trauma,” katanya kepada laporan portal Mirror.

Tambahnya, pihak penyelamat di taman tema itu ada cuba untuk menyelamatkannya, tetapi situasinya sangat lemah.

“Ia adalah mimpi ngeri dan saya masih sangat sedih mengenainya. Saya masih belum pasti apa yang berlaku, kerana saya mengikut semua peraturan yang diberikan kepada saya,” kata Graves lagi.

Dia menerimarawatan di sebuah hospital di Burgas dan lukanya telah dijahit selain terpaksa menjalani pemindahan darah serta pembedahan untuk merawat arteri terputus itu.

Dia turut mendakwa dirinya menderita dengan pendarahan dalam arteri yang boleh membawa kepada berlakunya strok dan anemia sekunder.

Walau bagaimanapun, rawatannya di Bulgaria dilindungi oleh insurans perjalanannya.

Disebabkan tragedi itu juga, dia terpaksa mengambil cuti sakit selama lima minggu sementara keadaannya sembuh.

Warga British itu juga telah mengupah firma undang-undang, Irwin Mitchell untuk menyiasat kejadian itu.

“Saya sangat berharap siasatan boleh dijalankan dengan baik kerana saya tidak mahu orang lain senasib dengan apa yang perlu lalui.

“Saya harap saya tidak pernah menjejakkan kaki di taman air itu,” ujarnya.

Ekoran kejadian itu, dia turut meminta agar lebih banyak kesedaran mengenai bahaya potensi slaid air perlu ditekankan.

sumber:astro awani




Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*